Wednesday, November 24, 2010

Sah! Siti Nurhaliza Tarik Diri Dari Anugerah ABPBH





SUBANG JAYA: Selepas tujuh kali merangkul takhta Bintang Paling Popular di majlis berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, sah menarik diri untuk bertanding di ABPBH2010.

Kenyataan itu dibuat Siti pada sidang media selepas majlis pengumuman pelancaran pertama ABPBH2010 di sini, semalam. Siti yang mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular 13 kali nekad dengan keputusannya tidak mahu bertanding lagi.



“Saya sudah memikirkan perkara ini (menarik diri bertanding ABPBH2010) semasak-masaknya selepas menang gelaran Bintang Paling Popular, tahun lalu. Sudah tiba masanya, saya menjadi penyokong di belakang ABPBH pula tanpa bertanding.


“Penarikan diri ini keputusan muktamad saya dan ia sudah pun dibincangkan bersama penganjur, akhbar Berita Harian. Lagi pun, saya difahamkan penarikan diri dibenarkan kepada calon yang pernah menang gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali atau lebih.



“Jadi, saya mencapai syarat itu dan syukur hasrat ini termakbul akhirnya. Memang, saya berniat mahu jadi penonton. Apapun, saya sentiasa sedia memberi sokongan kepada ABPBH sama ada sebagai penyampai anugerah atau membuat persembahan,” katanya.




Siti berkata, sekalipun keputusannya turut menyebabkan beliau tidak boleh dicalonkan lagi dalam penganjuran ABPBH edisi seterusnya, itu tak mengapa. Baginya, apa yang diraih sehingga kini sangat bermakna untuk dirinya dan karier diceburi. Sehubungan itu, kira-kira 600 calon artis dan selebriti tanah air disenaraikan berentap dalam 16 kategori pencalonan awal ABPBH2010. Majlis kemuncak bertemakan klasik dan moden, ABPBH2010 akan berlangsung pada 3 April 2011.



Masih bertempat di Arena Of Stars Genting Highlands, pemenang gelaran Bintang Paling Popular akan meraih hadiah lumayan berupa kereta Nissan Teana tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) manakala penonton bertuah pula menerima kereta Nissan Grand Livina. Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid, berkata borang pencalonan awal kempen undian untuk edisi ABPBH ke-24 bermula esok. Ujarnya, tahniah dan selamat berjaya kepada calon bertanding.



“Saya bersyukur kerana Berita Harian dapat meneruskan lagi penganjuran ABPBH sejak diperkenalkan pada 1987. Malah, kerja merancang dan menggerakkan tugas penganjuran juga dilakukan dari Ogos lalu. Saya harap acara kali ini mencapai matlamatnya.


“ABPBH2010 acara penganjuran anugerah tahunan berupa pengiktirafan dan penghargaan kepada barisan artis dan selebriti tanah air yang terbabit dalam bidang perfileman, program dan drama TV, muzik serta industri penyiaran,” katanya.



Beliau berkata, ABPBH2010 menjadi medan untuk artis menilai sejauh mana tahap penerimaan diri dan hasil kerja seni mereka sepanjang tempoh tertentu di kalangan masyarakat. Justeru, ia menjadi kayu pengukur mutlak populariti seseorang bintang seni.




Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mahfar Ali; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2010, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan wakil daripada penaja.




Penaja lain turut terbabit dalam ABPBH2010 kali ini ialah Hotel Holiday Villa sebagai lokasi sidang media, Gulati’s Silk House (penaja fabrik), TV3/ HotFM (penyiar rasmi), minuman jus Chantek keluaran Tradisional Orang Kampung termasuk Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM).




Turut dilancarkan laman web ABPBH2010 iaitu www.abpbh.com.my atau facebook.com/abpbh dan twiter.com/abpbh. Antara artis yang hadir memeriahkan majlis seperti Adi Putra, Diana Danielle, Rafidah Ibrahim, Shahir (AF8), Adira (AF8), Mizz Nina, Erni Zakri, Rabbani, Jinbara, Rini, Daus (AF8), Black (Mentor), Azlan & The Typewriter, Aizat,Kieran dan Faizal Ismail.

Sumber: Mymetro

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment